Alkisah, maka adalah suatu cerita, kononnya sebuah negeri nama Halaban
Condong. Nama rajanya Indra Maya, cukup dengan hulubalang menterinya. Maka
adalah dipeminggiran negeri raja itu seorang peladang tiga beranak, anaknya
laki-laki dinamakannya Belalang, menjadi orang-orang semuanya memanggil orang
tua peladang itu Pak Belalang. Maka pada suatu tahun semua orang tiada dapat
padi berladang, oleh sangat kemarau. Maka yang hal sepeladang tiga beranak itu
sangatlah kesusahan hendak mencari makanan, tiadalah dapat daya dan upaya lagi,
melainkan dengan makanan kutip katap sahaja, ya ni kadang-kadang makan ubi,
tebu, pisang, keladi dan sebagainya
Maka pada suatu hari Pak Belalang berkata kepada anaknya nama Si Belalang
itu, wahai anakku, apalah sudah untung kita demikian ini. Tiadalah dapat
apa-apa yang dijadikan makanan kita anak beranak. Maka jawab anaknya, apakah
fikiran aki? Maka kata Pak Belalang, pada fikiranku pergilah anakku sembunyikan
kerbau orang yang menenggala dibendang itu barang dua ekor, taruh di dalam
semak-semak itu. Jikalau orang itu gempar kehilangan kerbaunya, katakana aku
tahu bertenung menentukan dimana-mana tempat kerbau itu.
Sebermula, telah sudah bermesyuarat kedua beranaknya, pada waktu matahari
rembang orang-orang bendang itu kelelahanlah penat. Masing-masing pun
berhentilah naik kedangaunya makan minum dan setengah tidur. Maka kerbau-kerbau
mereka itu ditambatkan ditepi batas yang disebelah naung, makan rumput dan
setengah dilepaskan dengan tali-talinya berkubang.
Arakian, Si Belalang pun, lepas bermesyuarat dengan bapanya itu, lalulah
ketempat kerbau yang teramat itu dengan seorang dirinya terhendap-hendap
mengintau tuan kerbau itu. Telah sampai lalu dipegangnya tali kerbau,
diambilnya dua ekor, ditambatkannya kepada pohon kayu besar kira-kira sebatu
jauhnya daripada tempat itu. Maka ia pun pulang kepada bapanya, habis
dikabarkannya hal ehwalnya. Maka sangatlah sukacita bapanya mendengarkan
perkataan anaknya oleh mengikut seperti pengajarannya.
kemudian,,, tersebut perkataan orang-orang bendang itu. Apabila telah beralih
hari, masing-masing pun turunlah kebendangnya sambil hendak mengambil kerbau.
Maka dilihat dua ekor kerbaunya sudah hilang. Jenuh mencari tiada jump, sambil
berkata, siapakah gerangan agaknya tahu bertenung ini? Kita hendak tenungkan
kerbau yang hilang ini. Maka pada ketika itu Si Belalang sedang bermain
dekat-dekat meraka itu. Maka katanya, bapaku tahu juga sedikit-sedikit
bertenung.
Jawabnya tahu juga. Maka kata orang bendang itu, marilah kita sekalian pergi
kepada Pak Belalang minta ditenungkan. Jawab kawannya, moh la. Lalu pergilah
orang-orang bendang itu kepada Pak Belalang. Maka pada ketika itu Pak Belalang
pun ada dirumah sedang memegang gobek. Lalu ditegurnya akan mereka itu seraya katanya,
apakah hajat anakku sekalian ini? Jawab orang-orang itu, kita ini mendapatkan
Pak Belalang minta tenungkan kerbau kita hilang, jenuh mencarinya.
Maka kata Pak Belalang pun mengambil kertas yang buruk, ditulisnya bagai
bekas cakar ayam sahaja, dengan tawakal diperbuatnya serta membilang-bilang
jarinya dan memejam-mejamkan matanya. Katanya, ayuhi anakku, kerbau itu dua
yang hilang ada disebelah matahari mati, ditambatkan orang dipohon kayu besar.
Pada petuanya jikalau lambat dituruti nescayalah ia mati.
Demi orang-orang itu mendengarkan perkataan Pak Belalang, sangatlah sukacita
hatinya. Lalulah pergi setenganya mencari dan yang setengah balik pulang.
Kemudian antara beberapa lamanya mereka itu pun sampailah ketempat yang
ditambatkan oleh Si Belalang itu. Maka kerbau dua ekor itu hampir akan mati
karena kehausan, lalu diambilnya, dibawa pulang kerumahnya akan Pak Belalang
tahu tenung. Maka singgahlah mereka itu dirumah Pak Belalang, serta membawa
beberapa banyak hadiah daripada beras, padi, tembakau, gambir, ikan dan
lain-lainnya adalah berharga kadar lima puluh derham. Maka sangatlah kesukaan
hati Pak Belalang menerima hadiah mereka itu, dengan beberapa kesenangan ia
makan anak-beranak.
Kelakian, tersebutlah Raja Indera Maya di dalam negeri itu. Pada suatu malam
kecurianlah baginda tujuh biji peti yang berisi emas, intan, derham dan
lain-lain mata benda yang mahal-mahal harganya. Maka dititahkan oleh baginda
memukul canang segenap pekan di dalam negeri itu, titahnya, siapa-siapa tahu
bertenung raja memanggil kedalam, hendak minta tenungkan harta yang hilang
kecurian tujuh buji peti semalam. Maka didengar oleh bendang yang hilang kerbau
itu. Katanya, yang kita tahu, orang yang pandai bertenung, boleh dapat dengan
segeranya.
Maka kata tukang canang itu, dimanakah rumahnya? Jawab orang bendang itu,
itulah rumahnya. Maka pergilah tukang canang itu. Didapati Pak Belalang ada
hadir dirumahnya. Lalu mereka bertanya, ayuhai Pak Belalang, iakah sungguhh
tahu bertenung? Maka jawabnya, tahu juga sedikit. Maka kata tukang canang,
marilah mengadap baginda, karena baginda kecurian tujuh biji peti semalam.
Maka jawab Pak Belalang, baiklah. Maka ia pun pergilah mengadap baginda
bersama-sama dengan tukang canang. Apabila sampai kedalam lalu ditegur oleh
baginda seraya bertitah, hai Pak Belalang, tahukah engkau bertenung? Maka
sembah Pak Belalang, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tahu juga sedikit kerana
patik ditinggalkan hamba tua dahulu empat peti kitab tiba dirumah patik dari
hal kisah pencuri barang-barang yang hilang.
Maka titah baginda, jikalau baginda beta beri tempoh di dalam tujuh hari
ini, beta minta tenungkan harta beta yang hilang itu. Jika tiada dapat engkau
tenungkan harta itu, nescaya beta bunuh kerana membuat bohong mengatakan ada
empat biji peti tib ilmu nujum. Maka sembah Pak Belalang, Daulat Tuanku titah
patik junjung. Insyaallah ta`ala, berkat dengan tinggi daulat, bolehlah patik
tenungkan, Tuanku.
Maka Pak Belalang pun bermohon balik, dikurniakan oleh baginda seratus
derham akan belanjanya. Hatta, apabila sampai kepekan, maka dibelinya beras,
ikan, minyak dan tepung, dibawa balik kerumahnya, diberikan kepada isterinya.
Maka tanya isterinya, dimana Pak Belalang dapat barang banyak-banyak ini?
Curikah? Jawabnya, tiada aku curi, raja memberi kepada aku, disuruhnya
bertenung hartanya hilanh tujuh biji peti semalam konon. Maka tepung ini
perbuatlah roti. Aku teragak hendak makan roti rasanya.
Maka diambil oleh perempuannya barang-barang itu diperbuat roti. Seketika
nanti hari pun malam. Lepas makan nasi tiga beranak itu, Pak Belalang pun
berbaring ditengah rumahnya oleh sebab letih berjalan tadi. Maka isterinya pun
masaklah roti itu didapurnya, direndangnya sebiji-biji, maka berbunyilah roti
itu kena minyak di dalam kuali, chur bunyinya. Maka oleh Pak Belalang dibilangnya
dari tengah rumah itu, katanya, satu membilang roti itu.
Maka dengan takdir Allah, berkat ia bertawakal membuat pembohong itu,
tatkala ia membilang roti itu maka kepala pencuri yang mengambil harta baginda
itu ada orang terdiri dihalam Pak Belalang, barulah ia keluar dari hutan,
kerana jalannya pergi datang itu dekat dengan rumah Pak Belalang. Kemudian chur
bunyinya sekeping roti lagi, dibilangnya, dua. Maka pencuri itu pun sudah dua
berdiri dihalamannya. Kemudian tiga, maka pencuri itu pun sudah tiga orang
disitu. Kemudian tujuh keping roti dibilang oleh Pak Belalang, bersetuju dengan
pencuri itu telah ada disitu ketujuh-tujuhnya.
Maka kata kepala pencuri itu, Hai kawan-kawan sekalian, ada pun kita ni
sudah diketahui oleh orang tua Pak Belalang akan kita ada disini. Pada
fikiranku, tentulah ia tahu kita tujuh orang ini yang mengambil harta raja itu
dan sekarang baiklah kita pergi berjumpa dengan dia berkabarkan kesalahan kita
yang mengambil harta raja itu. Jawab yang berenam itu lagi, baiklah mari kita
pergi kabarkan supaya lepas nyawa kita mati dibunuh raja itu. Maka pencuri
ketujuh itu pun pergilah mengetuk pintu Pak Belalang. Maka kata Pak Belalang
siapa itu?
Jawabnya, kita hendak berjumpa dengan Pak Belalang. Maka dibuka oleh Pak
Belalang pintunya lalu naiklah pencuri ketujuh-tujuh orang itu seraya duduk
berjabat tangan dengan Pak Belalang. Maka kata Pak Belalang, dari mana datang
dan apakah hajat? Maka jawab pencuri, kami datang ini minta nyawa kepada Pak
Belalang. Jangan kamu sekalian dibunuh, kerana kamilah semua yang mengambil
peti raja negeri ini, yang hilang tujuh biji itu. Oleh sebab jikalau tiada kita
berkabarkan benar pun, Pak Belalang sudah tahu, kerana Pak Belalang di rumah,
kami di tanah lagi belum nampak sudah Pak Belalang bilang.
Sebermula telah didengar oleh Pak Belalang akan perkataan pencuri ketujuh
itu sangatlah sukacitanya sambil berdaham. Katanya, dengan sesungguhnya aku
tahu. Masa anakku di tanah tadi aku bilang di rumah ini satu hingga ketujuh.
Benar atau tidak bilangan aku itu? Maka jawab pencuri itu dengan ketakutan,
benar. Itulah sebabnya kami sekalian takut akan Pak Belalang berkabar kepada
raja, matilah kami sekalian di bunuh oleh raja itu.
Maka kata Pak Belalang, jikalau sungguh anakku sekalian berkata benar,
tidaklah dibunuh oleh raja. Dimanakah harta raja itu sekarang? Jawab pencuri
itu, adalah kami sekalian tanamkan disebelah selatan di dalam hutan, lebih
kurang ada sebatu dari sini. Kami sekalian tanamkan di dalam tanah tiada
apa-apa rusak, bolehlah Pak Belalang ambil harta raja itu balik. Maka kata Pak
Belalang, baiklah, tetapi jangan membuat bohong. Tentu aku suruh bunuh kepada
raja.
Maka bersumpahlah pencuri itu mengatakan tidak bohong sekali-kali. Kemudian
roti yang dimasak oleh isteri Pak Belalang itu pun dijamukannyalah kepada
pencuri-pencuri itu. Lepas makan mereka itu pun turunlah berjalan. Hatta, telah
siang hari, Pak Belalang pun pergilah mengadap Raja Indera Maya seraya baginda
bertitah, apa kabar, Pak belalang? Adakah dapat ditenungkan di dalam tib
darihal itu?
Maka sembah Pak Belalang, insyaallah ta`ala, dengan berkat tinggi daulat
dapatlah dalam tib-tib patik itu, Tuanku. Patik peroleh satu buku, di dalamnya
ada tersebut bahawasanya ada pun hartanya yang hilang tujuh orang, dibawahnya
kesebelah selatan, sudah ditanamkannya di dalam tanah, tetapi tiada rosak
barang-barang itu lagi.
Setelah menitahkan dua orang menteri dengan seratus hulubalang dan lima
ratus rakyat mencari peti baginda itu dengan segeranya, maka masing-masing
menyembah lalu berjala. Maka baginda pun tinggallah dengan Pak Belalang di
balairong seri dihadapi oleh bentara biduanda sida-sida sekalian.
Maka tersebutlah kisah menteri dengan hulubalang, rakyat pergi mencari harta
itu. Selang beberapa lamanya sampailah kedalam hutan besar, ditujunya kesebelah
selatan. Dengan takdir Allah subhanahu wata`ala betullah sampai mereka kepada
tempat peti yang ditanamkan oleh pencuri itu, berjumpa dengan suatu lubang
bekas ditimbus orang. Maka diambil oleh menteri anak-anak kayu suruh tikam
kedalam tanah, lalu kenalah kepada peti itu, serta diangkat naik, dipikul oleh
rakyat sekalian, dibawa balik mengadap baginda.
Maka baginda pun turunlah dari atas singgahsana sambil berkata, betullah
sungguh Pak Belalang ini, besar untungnya dan kebaktiannya kepada aku. Baginda
bertitah itu dengan teramat sukacitanya, seraya memandang kepada muka Pak
Belalang. Titahnya pula, ada pun Pak Belalang ini telah beta gelar Ahlunnujum
pada hari ini, dan barangsiapa memanggil Pak Belalang, beta guntingkan
lidahnya.
Maka sekalian rakyat, menteri hulubalang pun mengatakan Ahlunnujum
sekaliannya. Maka titah baginda, Hai ahlunnujum, beta anugerahi sebiji peti ini
akan dikau, bawalah pulang kerumah, berikan kepada anak isteri engkau. Maka
sembah Ahlunnujum Belalang, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patik mohonkan
ampunlah dikurniakan harta itu, kerana ayapan yang kurniai oleh dulu Tuanku
dahulu itu pun cukup patik ayapi anak beranak.
Maka titah baginda menyuruh juga hantarkan sebiji peti yang berisi emas,
intan, ratna mutu manikam, kerumah ahlunnujum Belalang itu. Maka ahlunnujum pun
bermohon kembali pulang kerumahnya dengan sukacita sekalian anak isterinya.
Hatta, antara selang tiga bulan, masuklah pula tiga buah kapal membawa anak
itik baru jadi, meminta kenalkan jantan betinanya. Maka kapal itu pun sampailah
kepelabuhan. Juragannya naik kedarat mengadap Raja Indera Maya. Maka ada pun
tatkala itu baginda sedang dihadapi oleh menteri, hulubalang, sida-sida,
biduanda sekaliannya.
Maka juragan itu pun naiklah kebalai pengahadapan masuk mengadap dibawa oleh
bahtera baginda. Serta baginda memandang, juragan pun bertelut kepada baginda.
Sembahnya, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patik ini datang dari sebuah negeri
kesebuah negeri membawa anak itik baru menetas, meminta kenalkan jantan dan
betinanya patik persembahkan kebawah duli Tuanku kapal patik tiga buah itu
dengan isinya, patik turun kain sehelai sepinggang sahaja. Tetapi jika Tuanku
terkenal anak itik itu jantan betinanya, harapkan diampun beribu-ribu ampun,
negeri Tuanku ini patik pohonkan supaya menjadi milik patik.
Maka sahut baginda, baiklah encik Juragan, beta minta tempoh tiga hari
dahulu. Kepada hari yang ketiga itu pagi-pagi bolehlah datang bawakan anak-anak
itik itu, boleh beta kenalkan jantan betinanya. Maka juragan itu pun bermohon
balik kekapalnya. Maka baginda pun menitaahkan seorang biduanda panggil
ahlunnujum belalang. Maka biduanda pergi kepada Ahlun nujum Belalang. Tatkala
itu Ahlun nujum Belalang ada dirumahnya sedang merojak sireh hendak dimakannya.
Maka biduanda pun naik. Katanya, Hai Ahlun nujum , titah memanggil bersama-sama
sahaya mengadap dengan segeranya.
Jawab biduanda ada kapal masuk membawa anak itik baru menetas, minta
kenalkan jantan betinanya. Itulah sebab Tuanku memanggil. Maka sahut Ahlun
nujum Belalang, Baiklah, lalu ia mengambil tongkat berjalan bersama-sama dengan
biduanda mengadap baginda kebalairong seri. Demi terpandang kepada Ahlun nujum,
maka baginda pun bertitah, marilah kesini dekat dengan beta ini, hendak
bermesyuarat.
Maka Pak Belalang pun datanglah hampir dengan baginda seraya meyembah. Maka
titah baginda, apalah hal beta ini ahlun nujum? Ada pula masuk tiga buah kapal
membawa anak itik baru menetas dari telur. Juragannya meminta kenalkan jantan
betinanya, kepada beta. Jika tidak kenal, negeri ini pulanglah kepadanya. Maka
sekarang apakah halnya beta hendak mengenalnya itu?
Setelah Ahlun nujum Belalang mendengarkan titah baginda, ia pun termenung
seketika serta menyerahkan dirinya kepada Tuhan sarwa sekalian alam harapkan
makbul sebarang maksudnya membuat perkataannya yang pembohong itu semuanya,
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, titah Tuanku terjunjunglah di atas otak batu
kepala patik. Maka dengan berkat tinggi daulat Tuanku adalah pula buku tib itu
tinggal di rumah patik, dua tiga empat peti penuh berisi dengan pasal anak itik
itu sahaja. Dan harapkan ampun patik bertempuh tiga hari mencari dalam tib itu.
Maka titah baginda, baiklah.
Maka Pak Belalang pun bermohon balik pulang kerumahnya dengan dukacita yang
teramat sangat kerana takut kalau kedapatan budi pembohongnya itu. Maka keluh
kesahlah ia tiada lalu makan dan minum dan tidur, melainkan di dalam hatinya
berkata, ya Allah, ya Rabbi, ya Saidi, ya Maulai. Kepada Tuhanku juga hamba
menyerahkan diri, barang dimakbulkan kiranya seperti maksud dan hajat hamba ini
akan mengetahui jantan betina anak itik itu dengan mudahnya.perjanjian dengan baginda itu pun sampailah dua hari sudah. Maka
sangatlah dukacita Pak Belalang akan perkara yang disanggupinya itu. Setelah
sampai kepada malam ketiganya, maka dengan takdir Allah subhanahuwata`ala
dibukakan hatinya fikiran yang baik. Baiklah aku pergi bersampan berkayuh
dekat-dekat kapal mendengar perkabaran itik itu.
Maka ia pun berkayuhlah dengan perahunya yang pipih supaya tidak kedengaran
bunyi air. Setelah Pak Belalang sampai kepada kapal yang tiga buah berlabuh itu
seraya perlahan-lahan mendengarkan apa-apa percakapan orang dikapal itu. Maka
dengan takdir Allah subhanahu wata`ala melakukan kudrat di atas hambanya, pada
ketika itu bercakaplah isteri juragan kapal itu dengan suaminya. Katanya ayuhi
Encik Juragan, berapa lama sudah saya bersama-sama belayar menjajakan anak itik
ini minta kenalkan jantan betinanya belum juga saya tahu bagaimana hendak
mengenalnya itu. Jikalau sungguh kasih kepada saya tolonglah kabarkan supaya
saya tahu.
Maka jawab juragan itu, ayuhai adinda, buah hati kekanda, tiadalah dapat
kekanda hendak mengabarkan hal itu, takut didengar oleh orang, kerana esok hari
hendak kekanda bawa mengadap raja negeri ini minta kenalkan jantan betinanya.
Jikalau tiada lalu raja itu mengenalnya negeri ini kita miliki, dan jikalau
lalu pula raja itu mengenalnya, kapal yang tiga buah ini pulang kepadanya. Kita
sekalian turun kain sehelai sepinggang sahaja. Tetapi oleh kasih kekanda,
kabarkan. Janganlah dicakapkan kepada orang.
Maka jawab isterinya, katakanlah supaya adinda dengar. Di mana pula ada
orang tengah malam datang hampir kemari? Lalu dikabarkan oleh juragan kepada
isterinya, katanya, jikalau hendak mengenal jantan betina anak itik itu,
hendaklah dibubuh air di dalam terenang. Mana-mana yang dahulu menyelam itulah
betina dan yang kemudiannya jantan.
Setelah didengar oleh isterinya, ia pun diam. Lalu tidur kedua laki isteri
menantikan siang. Shahadan maka Pak Belalang pun sekalian hal ehwal itu
semuanya didengar. Sangatlah suka hatinya serasa mati hidup kembali, sambil
berkayuh perlahan-lahan balik pulang kerumahnya. Setelah sampai lalu memanggil
perempuannya emak Belalang. Maka emak Belalang pun bangun memebuka pintu. Maka
kata Pak Belalang, ada \kah nasi emak Belalang? Aku lapar ini. Pergilah masak
segera, apa digaduhkan masak nasi ransum? Belanja kita raja memberi.
Maka jawab isterinya, sudah ada nasi. Makanlah. Maka Pak Belalang pun
bersalin kainnya lalu duduk serta memakan nasi. Setelah itu, ia pun tidur
dengan kesukaannya. Seketika lagi hari pun sianglah lalu ia bangun duduk sambil
merujak sirihnya. Sebermula, maka tersebutlah perkataan juragan kapal. Telah
hari siang pagi-pagi hari, maka juragan pun bersiaplah lalu naik kedarat
diiringkan oleh anak-anak perahunya membawa anak itik itu. Maka baginda pun
hadir di atas singgasana tahta kerajaan dihadapi oleh sekalian menteri,
hulubalang, sida-sida bentara, rakyat bala, hina dina hendak melihat temasya
itu.
selanjutnya,,, baginda pun menitahkan seorang biduanda memanggil ahlun nujum
Belalang dengan segeranya. Maka biduanda pun menyembah lalu turun berjalan
kerumah Ahlun nujum Belalang. Maka katanya titah Tuanku memanggil Ahlun nujum.
Juragan dan sekalian orang telah berhimpun dibalai semuanya. Maka Ahlun nujum
pun bersiap-siapkan sirehnya lalu mengadap baginda. Maka sampailah kebalairung
seri. Maka titah baginda, marilah kemari.
Maka Ahlun nujum Belalang pun dekatlah dengan baginda. Maka titah baginda,
Apakah hal ahlun nujum hendak mengenal anak itik itu jantan betinanya? Maka
sembah Pak Belalang. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jenuh patik mencari di
dalam batin patik. Maka dapatlah patik di dalam buku kecil sahaja, ada di dalam
dua baris tertulis di tulis disitu mengatakan demikian, bahawasanya ada pun
hendak mengenal anak itik itu jantan betinanya, hendaklah dengan air.
Maka titah baginda menyuruh ambilkan suatu terenang emas. Maka di bawa oleh
dayang-dayang di persembahkan kepada baginda. Maka titahnya, inilah air, ahlun
nujum. Maka sembah Pak Belalang, kemudian lepaskan seekor. Mana-mana yang
dahulu menyelam, itulah yang betina dan yang kemudian menyelam itulah
jantannya. Maka titah baginda, lepaskanlah. Sembah Pak Belalang, silakanlah
Tuanku melepaskannya. Titah baginda, beta tiada tahu.
Maka Pak Belalang pun bangun seraya menyembah melepaskan itik itu. Maka
apabila dilepaskannya seekor dalam terenan, maka anak itik pun menyelam. Maka
sembah Pak Belalang, itulah betina, tuanku. Kemudian dilepaskan pula seekor
lagi, lambat menyelam. Titah baginda, lambat pula menyelan itu. Sembah Pak
Belalang, yang lambat menyelam itu jantan, Tuanku.
Maka baginda pun memandang kepada juragan kapal itu. Titahnya, apakah kabar
Juragan? Betulkah seperti kata ahlun nujum ini, dimana hendak patik simpangkan
perkataan yang sebenar itu? Maka titah baginda, jikalau begitu, baiklah perdana
menteri beri juragan ini tiga buah perahu dan bekalnya sampai ia balik
kenegerinya. Maka perdana menteri pun menyembah dan juragan kapal pun turun
bersama-sama dengan menterinya seraya menyembah baginda. Kapal itu pun
diserahkan kepada bendahara dengan isi-isinya.
Sebermula, tersebutlah kisah baginda itu pula memberi titah kepada Pak
Belalang. Titahnya ayuhai saudara beta, ahlun nujum yang bijaksana, dengan
kerelaan hati beta memberi sebuah kapal itu kepada saudara dengan isi-isinya.
Maka sembah Pak Belalang, ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harapkan
diampun, sebenar sangat seperti titah itu, dengan sebolah-bolehnya patik mohon
ampunlah dikurniai itu, kerana mana-mana harta yang duli Tuanku kurniakan dahulu
sekarang telah sudah dihabiskan oleh didik itu bersuka ria, ampun tuanku
bermain muda sahaja kerjanya.
Baginda pun tertawa gelak-gelak, titahnya, tiada mengapa, budak-budak
sahayanya gemar main muda itu, tiada pula menjadi kesalahan. Tetapi kawinkan dia
mana-mana yang diperkenankan dan kapal ini pemberian betalah kepadanya Si
Belalang itu. Maka sembah Pak Belalang, daulat Tuanku. Maka kapal itu pun
disuruh hantarkan kepelabuhan Pak Belalang, adanya.
Sebermula, telah selesai kisah anak itik itu, dengan takdir Allah subhanahu
wa`tala, masuklah pula tujuh buah kapal membawa kayu yang teramat licin dan
bulat, panjangnya kira-kira sehasta, nakhodanya itu pun naiklah mengadap
baginda bermaklumkan halnya serta membawa kayu itu, dipersembahkan kepada
baginda. Katanya, ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun
jua kiranya. Adalah patik datang ini mengadap tuanku membawa suatu kayu bulat
licin semuanya. Patik minta kenalkan kayu tentukan ujung dan pangkalnya patik
persembahkan ketujuh buah kapal patik ini, patik turun sehelai sepinggang
sahaja.
Demi didengar oleh baginda sembah nahkoda itu, lalu titah baginda, baiklah
beta minta tempoh tujuh hari kepada nakhoda. Setelah sudah, maka nahkoda kapal
itu pun bermohonlah balik kekapalnya. Maka baginda pun bertitah menyuruh
panggil Pak Belalang. Maka biduanda pun menyembah serta bermohon pergi
mendapatkan ahlun nujum Belalang itu. Katanya, titah tuanku memanggil kebalai.
Jawab Pak Belalang, apa pasal memanggil aku? Lalu ia pun turun dengan segera
mengadap baginda bersama-sama dengan biduanda kebalai.
selanjutnya, setelah baginda melihat Pak Belalang datang itu, baginda pun memberi
titah kepadanya, ayuhai ahlun nujum, apalah ikhtiar diri sekarang? Ada seorang
nakhoda membawa kapal tujuh buah datang kepada beta, kerana ia ada membawa kayu
bulat licin. Ia meminta kenalkan ujung pangkal kayu itu. Jikalau lalu terkenal
oleh beta ujung dan pangkalnya, kapal yang tujuh buah itu diberikannya kepada
beta. Jika tiada terkenal, maka negeri ini pulang kepadanya. Beta minta tempoh
tujuh hari.
Arakian, telah Pak Belalang mendengar titah baginda, maka lalu ia mengangkat
tangan mendatangkan sembah, ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap
diampun, ada pun dari hal mengenal kayu, bolehlah juga patik kenalka, berkat
tinggi daulat tuanku, kerana ada tujuh peti tib patik dirumah pasal mengenal
kayu-kayu. Dan dua peti buku-buku pasal itu sahaja.
Titah baginda, baiklah boleh ahlun nujum lihat di dalam buku-buku itu. Maka
Pak Belalang pun bermohonlah kembalilah kerumahnya. , dalam pada itu
sampailah perjanjian itu tujuh hari kepada malam. Maka daripada pagi-pagi hari
nakhoda kapal pun bersiaplah dengan anak perahunya hendak naik kebalairung seri
membawa kayu itu. Maka pada ketika hulubalang, sida-sida, bentara, penuh sesak hendak
melihat temasya itu.
Maka hal Pak Belalang pada malam yang ketujuh itu turunlah ia kesampan
berkayuh kekapal nahkoda itu daripada sebuah kapal kepada sebuah kapal. lalu
dengan takdir Allah subanahu wata`ala sampailah ia kekapal nahkoda yang jauh ditengah
lautan sekali. Kepada masa itu nahkoda pun ada duduk sedang bermesyuaratkan
darihal hendak membawa kayu itu esok harinya mengadap baginda. Maka kata
sekalian anak-anak perahunya itu, ayuhai Tuan nahkoda, hamba sekalian pun
sangatlah ajaib bagaimanakah hendak mengenali ujung pangkal kayu itu. Maka
sahut nahkoda kepada anak-anak perahunya itu, janganlah kau sekalian cakapkan
kepada orang rahsia ini, kalau didengar oleh orang rosaklah kita.
Maka kata sekalian anak-anak perahu itu, ya tuan nahkoda, dimana datang
orang tengah malam ini? Maka kata nahkoda sekalian pun sangatlah ajaib
bagaimanakah hendak mengenal ujung pangkal kayu itu, ada pun hendak mengenal
ujung kayu itu dipegang sama tengahnya, diletakkan di atas air. Kemudian
mana-mana dahulu yang tenggelam, disitulah pangkalnya.
Telah sudah nahkoda berkabarkan rahsia itu kepada anak-anak perahunya,
semuanya didengar oleh Pak Belalang perkataan itu. Ia pun balik
kerumahnya. , telah hari siang, pagi-pagi hari berhimpunlah sekaliannya.
Maka nahkoda
kapal itu pun naiklah mengadap baginda membawa kayu itu. Maka baginda
pun
bertitah suruh duduk seraya memandang kepintu balai penghadapan itu
menantikan
ahlun nujum Belalang, lalu naik keatas balai penghadapan seraya
menyembah
baginda. Maka ditegur oleh baginda sambil bertitah, marilah dekat dengan
beta
disini. Apa kabar dalam tib ahlun nujum itu?
Maka sembah Pak Belalang, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, ada pun di
dalam kitab patik darihal hendak mengenal ujung pangkal kayu itu
hendaklah dengan air,
tuanku. Maka titah baginda menyuruh ambil air kepada dayang-dayang pun
mengambil air, dibubuh di dalam batil emas, dibawa kehadapan baginda.
Maka
sembah Pak Belalang, tuanku lepaskan kayu itu. Maka titah baginda, beta
tiada
tahu. Ahlun nujum sendiri lepaskan.
Maka Pak Belalang pun menyembah baginda seraya mengambil kayu itu. Maka
ditimbangnya betul sama-sama tengah kayu, dilepaskannya di dalam air itu. Maka
tenggelam sebelah dahulu. Titah baginda. Apa yang dahulu temggelam itu? Maka
sembah ahlun nujum Belalang, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, yang tenggelam itu
pangkalnya dan ujungnya itu kemudian tenggelam kerana ringan dan pangkalnya itu
berat.
Maka baginda pun memandang kepada nahkoda kapal itu seraya bertitah, apa
kabar nahkoda adakah betul seperti kata ahlun nujum beta dan tiada? Maka sembah
nahkoda itu, sebenarnyalah seperti kata ahlun nujum Tuanku itu. Apa hendak
patik salahkan lagi? Sudah nasib patik, tuanku kerana patik dengar ahlun nujum
tuanku ini arif bijaksana sangat. Inilah sebab patik mencuba kepandaiannya itu.
Maka sahut ahlun nujum, dengan sebenarnya juga encik nahkoda menyembah
kebawah duli yanga maha mulia itu. Jikalau ada kepandaian arif bijaksana sekali
pun jika tiada rajin usaha tiada berguna juga. Maka terasalah dihati nahkoda
itu teringatkan tatkala anak-anak perahunya itu bertanyakan ujung pangkal kayu
dahulu agaknya barangkali Pak Belalang itu mengendapmendengarkan kisah itu,
kerana ada cakapnya itu berusaha. Tetapi itu fikiran di dalam hatinya sahaja,
tiada dikeluarkannya. Maka titah baginda menyuruh biduanda berikan ampun kurnia
kepada nahkoda itu tujuh buah perahu serta belanja makanannya. Maka nahkoda itu
pun turun dari kapal sehelai sepinggang sahaja. Maka kapal tujuh buah serta
dengan isinya itu pulang kepada baginda semuanya. Maka nahkoda itu pun bermohon
kepada baginda naik keperahunya langsung pulang kenegerinya.
selanjutnya, selang antara berapa lamanya, masuk pula sebuah kapal perdana menteri
Askalan Rum mengadap baginda membawa surat rajanya kepada baginda. Tatkala itu
baginda sedang semayam di atas takhta kerajaan dibalairung seri. Perdana
Menteri itu pun naik lalu menyembah baginda dan mempersembahkan surat itu. Maka
disambut oleh bentera dan dibaca dihadapan baginda. Demikianlah bunyinya:
Sembah sujud serta ta`zim serta takrim daripada anakanda Raja Baharum Indera
Sakti dinegeri Askalan Rum, barang disampaikan kiranya mengadap kebawah tahta
paduka ayah duli yang maha mulia. Ihwal anakanda maklumkan jikalau ada
mudah-mudahan rahim kasihan belas ayah, anakanda pohonkan Ahlun nujum ayah, minta
lihatkan anakanda kehilangan isteri anakanda baru kawin tujuh hari, sedang
tidur dicuri oleh jin. Maka haraplah dipohonkan bersama-sama pacal Perdana
Menteri itu.
Telah didengar bunyi surat itu, baginda pun menyuruh panggil ahlun nujum
Belalang. Maka biduanda pun pergilah. Ada seketika lamanya, ahlun nujum
Belalang pun sampailah bersama-sama dengan biduanda mengadap baginda. Maka
baginda pun bertitah, hai ahlun nujum, ada pun sebab beta memanggil ini kerana
ada sebuah kapal masuk kemari mengadap membawa surat darihal putera baginda
negeri Askalan Rum hilang isteriny, ia sedang tidur bersama-sama dicuri oleh
seorang jin. Adakah dapat ahlun nujum mengembalikan balik daripada jin itu?
Maka sembah ahlun nujum Belalang. Ampun tuanku beribu-ribu ampun, insya Allah
ta`ala, berkat dengan tinggi daulat duli yang maha mulia, dari hal itu
barangkali ada di dalam tib-tib patik tangkal jin itu supaya ia takut. Maka
titah baginda, baiklah boleh pergi sekarang bersama-sama Perdana menteri
baginda ini. Maka sembah Ahlun nujum Belalang. Daulat tuanku, titah patik
junjunglah. Patik pohon ampun pulang keteratak patik dahulu.
Maka titah baginda, usahlah balik dahulu. Belanja-belanja ada beta beri.
Maka sembahnya, baiklah tuanku. Lalu ia menyembahkan kepada baginda
bersama-sama turun kekapal Perdana Menteri itu langsung belayar kenegeri
Askalan Rum. Selang antara beberapa lamanya, sampailah kejambatan larangan.
Maka disambut oleh baginda itu menteri serta dengan Ahlun nujum Belalang. Maka
datanglah putera baginda itu mendapatkan Pak Belalang dengan tangisnya.
Titahnya , ayuhai bapa hamba, tolonglah hamba minta carikan isteri hamba yang
telah dicuri oleh jin itu dengan segeranya.
Maka sembah Pak Belalang, ampun tuanku beribu-ribu ampun, pertetapkan juga
hati tuanku, Insya Allah ta`ala patik pergi mencari paduka adinda itu. Maka
baginda pun berangkat dari kapal naik keistana membawa Ahlun nujum Belalang,
diperjamu makan dan minum tujuh hari tujuh malam, disembelih kerbau, lembu,
ayam dan itik.
selanjutnya, lepas itu, Pak Belalang pun berdatang sembah kepada putera baginda
itu. Sembahnya, ampun tuanku beribu-ribu ampun, nanti pada waktu dinihari
tuanku titahkan sekalian isi negeri, rakyat bala tuanku pergi masuk kehutan
sekalian isi negeri, rakyat bala tuanku pergi masuk kehutan sekaliannya mengikut
patik. Tuanku pun bersama-sama berangkat. Apabila patik berhenti, tuanku
sekalian rakyat pun berhenti jauh-jauh daripada patik, jangan dekat.
Maka putera baginda serta dengan sekalian menteri, hulubalangnya pun
mengakulah seperti sembah ahlun nujum itu. Telah malamlah, waktu dinihari,
perdana menteri pun menyuruhkan sekalian rakyat isi negeri semua kehutan rimba
belantara itu dengan terlalu amat kesusahannya., apabila gari pun sudah
cerah Pak Belalang pun berjalanlah bersama-sama dengan putera baginda itu
diiringkan oleh menteri, hulubalangnya sekalian yang tiada tepermanai
banyaknya. Maka antara beberapa lamanya sampailah Pak Belalang kepada sepohon
kayu beringin ditengah padang , terlalu amat rendang pokoknya. Lalu berhentilah
akan lelahnya teramat sangat, dan matanya pun mengantuk seperti diperekat
rasanya. Ia pun berbaring dibawah kayu beringin itu lalu tertidur.
Hatta, dengan takdir Allah Tuhan sarwa sekalian alam, kepada ketika itu
datanglah seorang tua, janggutnya putih hingga kepusatnya, seraya berkata
dengan suara yang dahsyat. Sabdanya, hai Pak Belalang apakah pekerjaan engkau
demikian ini sentiasa berbuat bohong sahaja, tiada perkataan yang sebenarnya?
Maka Pak Belalang pun terkejut mendengarkan sabda orang tua itu, seraya
menyembah, katanya, hamba tuan sungguhlah berbohong sahaja, kerana dengan hal
mencari napakah hamba.
Maka sabda orang tua itu, dengan sebenarnya engkau berbuat bohong
semata-mata, tetapi bohong engkau itu diperkenankan Allah ta`ala tiada
menganiayai orang sekali-kali, semata-mata membuat kerana Allah memelihara raja
sendiri daripada percubaan Tuhan sarwa sekalian alam keatas hambanya. Maka
sekarang ini apalah pekerjaan engkau? Hendak kemana?
Maka sembah Pak Belalang di dalam tidurnya, hamba tuan dititahkan oleh
putera baginda ini meminta carikan isterinya dicuri oleh jin kunun. Inilah
hamba kerjakan. Maka sabda orang tua itu, bagaimanakah hal engkau hendak
mencarinya itu? Maka sembah Pak Belalang, entahlah tuan tiada hamba tahu.
Apakah nama tuan hamba?
Maka disahut oleh orang tua itu, betalah yang bernama nabi Allah Khidir,
Kutubu`l alam menjaga lautan dan daratan dengan titah Tuhan beta. Ada pun darihal engkau
hendak mengambil tuan puteri itu, inilah isim Allah ta`ala ya`ni tangkal yang
ditakuti oleh jin, beta ajarkan. Bacalah kepada jin itu supaya ia lari.
Kemudian engkau ambilah tuan puteri itu.
Maka diajarkannya suatu isim kepada Pak Belalang. Dapatlah olehnya. Maka
sabda Kutubul`alam, ada pun sekarang jin itu sedang tidur memangku Tuan Puteri
itu di dalam suatu gua batu ditepi gunung. Segeralah pergi ketempat itu. ,
telah sudah berkata-kata Pak Belalang pun jaga daripada tidurnya. Maka dengan
tiada lengah lagi lalu berjalan menuju kegunung itu. Maka putera baginda dengan
menteri, hulubalang, rakyat pun bersama-samalah mengikuti jauh-jauh dari
belakang. Dalam hal yang demikian sampailah kepada suatu gua batu. Betullah
dilihatnya jin itu sedang memangku Tuan Puteri itu sedang tidur juga
kedua-duanya. Maka balutlah mata Tuan Puetri itu bekas menangis. Tersangatlah belas
kasihan Pak Belalang melihatnya. Maka segeralah ia membacakan isim Allah
ta`alaseperti pengajaran Kutubul alam itu. Dengan berkat isim doa itu,
dihembuskan oleh Ahlun nujum dikepalanya, maka jin itu pun terbanglah lari,
tinggallah Tuan Puteri itu. Maka segeralah diambil oleh Pak Belalang dengan
besar suaranya meminta tolong. Katanya, tolong Yuanku, segera ini adinda.
Maka apabila didengar oleh putera baginda dengan menteri, hulubalangnya maka
sekalian rakyat pun berhimpum mengiringkan puteri itu, diletakkan di atas geta
yang keemasan, dihadapi oleh dayang-dayang, bentar, sida-sida sekalian
bertunggu menjaga Tuan Puteri itu lagi pengsan tiada sedarkan dirinya. Maka
diambil oleh Pak Belalang air, dibacanya isim tadi, disiramkan pada seluruh
tubuhnya.
Maka Tuan Puteri pun sehatlah sedikit lalu bangun duduk santap nasi. Maka
putera baginda itu pun teramatlah sukacita melihat isterinya sudah didapati,
lalu duduk disitu serta memuji-muji ahlun nujum itu, lalu menitahkan menteri
hulubalang rakyat hina dina sekalian bersiap hendak kenduri melepaskan
nazarnya, menyembelih kerbau, lembu, ayam dan itik makan minum tujuh hari tujuh
malam.memberi sedekah kepada fakir miskin dengan beberapa pula hadiah kelelahan
ahlun nujum Belalang itu, dikurniakan oleh baginda daripada harta emas, perak,
kain baju dan hamba, dan kapal sebuah, cukup dengan isinya kapal itu.
Maka ahlun nujum Belalang pun mengajar putera baginda itu akan isim yang
diajarkan oleh Kutubul alam itu, di perbuat tangkal Tuan Puteri itu, supaya
jangan dicuri oleh jin itu balik. Maka kepada ketika yang baik, Pak Belalang
pun bermohon hendak balik kenegerinya dihantar oleh putera baginda itu kedua
laki isteri hingga kekapal serta dipasangkan meriam alamat tanda kebesaran di
atas ahlun nujum itu. Setelah sampai kapal. Putera baginda itu pun berpeluk
bercium denga ahlun nujum Belalang, bertangis-tangisan. Lalu berangkat kembali
keistananya. Maka ahlun nujum Belalang pun belayarlah pulang kenegerinya.