Jumat, 16 Desember 2011

Peradaban Cina dengan Peradaban Melayu dalam Mitos


1. Pendahuluan
Kehidupan manusia tidak dapat terpisah daripada alam semesta, namun cara manusia
memandang dan melayani alam semesta telah melahirkan nilai serta kebudayaan tamadun
masing-masing. Hakikatnya, kosmologi sesebuah tamadun adalah berbeza, dan nilai-nilai
atau ideologi-ideologi ketamadunan yang dipegang oleh tiap-tiap tamadun juga adalah
berlainan. Oleh itu, Kertas kerja ini cuba membincangkan kosmologi tamadun Cina dan
Melayu dari dua perspektif, iaitu dari perspektif mitologi dan falsafah, dengan merujuk
kepada hubungan manusia dengan alam semesta kedua-dua tamadun ini.
Setiap tamadun mempunyai mitos masing-masing. Mengikut definisi Kamus Dewan,
mitos ialah cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi
unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku
bangsa, kejadian-kejadian alam dan sebagainya (2007: 1037).
Mitos merupakan warisan kerohanian yang berharga dari sudut sastera dan budaya.
Kebanyakan mitos ditemurunkan secara naratif dari satu generasi ke generasi yang lain.
Mitos telah memperlihatkan daya kreativiti nenek moyang manusia yang penuh imaginasi,
romatik dan mistik. Walaupun kandungan mitos tidak mudah dipercayai, namun ia telah
memanifestasikan semangat dan pandangan dunia yang paling asas bagi sesebuah bangsa
atau tamadun. Oleh yang demikian, mitos dapat dikatakan melambangkan semangat atau
jiwa sesebuah tamadun dalam usaha mengenali dunia yang mereka tinggal dan
kesungguhan mereka menyelesaikan masalah dunia yang tertimbul. (TaoYang & Zhong
Xiu, 1990: i)
Dalam usahan mengenali dunia, kerangka pemikiran atau sistem kepercayaan yang
asas akan terwujud. Hal sedemikian menunjukkan sesebuah tamadun sedang mengalami
peralihan dari suatu peringkat yang primitif kepada peringkat yang lebih rasional. Ini
adalah kerana kerangka pemikiran atau sistem kepercayaan tersebut akan menggariskan
asas nilai dan estetika indvidu kepada asas masyarakat dan kemajuan sosial. (Hairudin
Harun, 2001: 4). Sistem pemikiran sedemikian menjelaskan dan mendefinasikan tentang
hubungan manusia dengan alam, hubungan manusia dengan manusia, manusia dengan
Tuhan telah dilanjutkan sehingga munculnya ilmu falsafah yang lebih sistematik dan
rasional. Oleh yang demikian, , proses pada peringkat ini menjadi lebih kerap dan lebih
mendalam. Dalam prosese peralihan tersebut, kelihatan juga kemasukan pengaruh asing
seperti budaya dan fikiran daripada tamadun lain telah menjadikan kosmologi sesebuah
tamadun lebih komplek dan berwarna-warni.

2. Mitos Tentang Penciptaan Alam Semesta dan Kewujudan Manusia

Tao Yang & Zhong Xiu telah membuat koleksi mitos Cina (lebih daripada 200 buah
cerita) dan membahagikannya kepada 12 kategori yang merangkumi mitos penciptaan
universal, mitos asal usul manusia, mitos wira, mitos raja dan sebagainya. (1990: 6-11)
Koleksi mitos yang serba banyak ini telah menunjukkan kekayaan dan kepelbagaian
tamadun Cina.
Abdul Rahman Abdullah berpendapat bahawa mitos merupakan salah satu corak
sastera rakyat atau sastera naratif yang tertua, dan merupakan juga sumber terpenting
dalam kajian tentang kosmologi Melayu. (1999: 11) Beliau telah mengemukakan
beberapa buah contoh mitos di Nusantara untuk menunjukkan kosmologi Melayu Asli
yang bersifat dualisme. (1999: 11-15)
Oleh yang demikian, perbincangan selanjutnya akan tertumpu kepada mitos
penciptaan alam semesta atau universal dan mitos kewujudan manusia di tamadun Cina
dan tamadun Melayu.

2.1 Penciptaan Alam Semesta / Universal

Alam semesta, atau dikenali sebagai universal, merupakan suatu bidang yang luas
dan jauh daripada pengetahuan manusia kuno, bahkan manusia kini. Kekurangan
pengetahuan sains dan teknologi mengakibatkan manusia menggunakan ilmu yang sedia
ada dan terhad untuk menjelaskan fenomena atau kejadian alam yang telah berlaku di
sekelilingnya. Untuk memunasabahkan penjelasan mereka, maka peminjaman
unsur-unsur ghaib merupakan satu cara penyelesaian yang paling sesuai. Berikut
merupakan beberapa contoh mitos tamadun Cina dan Melayu tentang penciptaan
universal.

(i) Peradaban Cina

Di China, dipercayai bahawa dunia pada asalnya adalah berbentuk telur. Di dalam
telur tersebut hanyalah segala campur-campuran dan kekaburan. Seorang tokoh yang
bernama Pan-gu telah dilahirkan di antaranya. Pan-gu telah memecahkan kerangka telur
mengakibatkan bahagian kerangka atas berkembang menjadi langit dan bahagian
kerangka bawah telah menjadi bumi. Campuran yang terang dan ringan di dalam telur
telah berkembang menjadi udara dan awam, manakala campuran yang berat jatuh ke
bawah menjadi tanah. Pecahan-pecahan kerangka telur yang tercampur dengan campuran
berat bertukar menjadi batu-batuan, manakala pecahan yang tercampur dengan campuran
ringan bertukar menjadi bintang. Dua pecahan kerangkan telur yang besar pula bertukar
menjadi matahari dan bulan. Sejak itu, terwujudnya langit dan bumi, pagi dan malam.
Selepas Pan-gu mati, badannya bertukar menjadi gunung Kunlun dan rohnya menjadi
dewa petir. (TaoYang & Zhong Xiu, 1990:1)
Terdapat juga cerita yang mengatakan bahawa selepas Pan-gu mati, matanya bertukar
menjadi matahari dan bulan; rambut dan jangutnya bertukar menjadi bintang; nafas dari mulutnya menjadi angin dan awan; bunyinya menjadi petir, darahnya menjadi sungai dan
sebagainya. Roh dan semangat Pan-gu pula melahirkan manusia serta segala haiwan,
burung dan serangga di dunia. Dengan itu, maka wujudnya dunia sekarang. (TaoYang &
Zhong Xiu, 1990: 8-10)

(ii) Peradaban Melayu
Sekiranya ditinjau dari pandangan orang asli atau penduduk asli di kepulauan Tanah
Melayu, kita dapat meneliti sedikit sebanyak tentang asas kosmologi Tamadun Melayu.
Misalya menerusi mitos orang Iban, mereka percaya dunia dan manusia sekarang
adalah dicipta oleh dua ekor burung dewa yang bernama Ara dan Irik. Pada masa dahulu,
berlaku kebanjiran yang besar di alam dunia, Ara dan Irik telah mengeluarkan dua bentuk
pepejal telur dari kebanjiran tersebut dan menukarkan mereka kepada langit dan tanah.
Ara dan Irk kemudiannya menciptakan gunung,-ganang, sawah padi, sungai dan tanah
pamah. (Ling Ching Ching, 2005: 117-118)
Selain daripada mitos tersebut di atas, terdapat versi lain yang popular di kalangan
orang Iban. Orang Iban juga percayai bahawa dunia ini dicipta oleh Raja Entala dan
isterinya. Mereka menggunakan kotoran badan mereka untuk menciptakan langit dan
bumi. Disebabkan bumi lebih besar daripada langit, Raja Entala terpaksa memanpatnya
menyesuaikan langit. Akibatnya, wujudlah gunung, bukit, lembah, sungai dan pamah.
Kemudian tertumbuhnya paku pakis, pokok, bunga dan rumput. (Ling Ching Ching, 2005:
118)
Bagi orang semai pula, mereka percaya bahawa dunia ini dicipta oleh Tak Pedn dan
Enku. Dunia terdiri daripada tujuh lapisan bumi dan tujuh lapisan langit yang
masing-masing ditinggal oleh mahluk sakti yang baik dan jahat.
Begitu juga di Indonesia, misalnya di daerah Batak Toba terdapat mitos yang
mengisahkan penciptaan bumi, matahari bulan dan manusia oleh Raja Odap-Odap dan
Boru Deak Parujar. Di daerah Sikka pula terdapat mitos yang mengkaitkan perkahwinan
Lero Wulang dan Ni’ang Tana dengan kelahiran dunia kini. (Abdul Rahman Abdullah,
1999: 12-13).
Dalam al-Quran telah mengisahkan bahawa Allah menggunakan 6 hari untuk
mencipta dunia, seperti yang berikut:
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi
dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan
siang yang mengiringinya dengan deras dan matahari dan bulan serta bintang-bintang,
tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan
menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang
mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.” (al-Qural, 7: 54)

bersambung---------------

Tidak ada komentar:

Nonton TV

Halaman